Thursday, August 6, 2009

Laporan berita oleh akhbar berita harian online bertarikh 9hb Mei 2009

Muhyiddin minta orang ramai beri pandangan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran semalam meminta orang ramai memberikan pandangan mengenai kemungkinan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diwajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk melayakkan mereka menerima sijil penuh.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ketika ini calon SPM tidak disyaratkan lulus Bahasa Inggeris walaupun subjek itu diajar sebagai satu mata pelajaran di sekolah, selain diiktiraf sebagai bahasa kedua di negara ini. Beliau berkata, maklum balas daripada orang ramai akan membolehkan Kementerian Pelajaran membuat penilaian kerana pihaknya melihat isu itu dari sudut peningkatan keupayaan dan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.
"Setakat ini anak-anak kita yang belajar bahasa Inggeris masih boleh dapat sijil penuh walaupun gagal dalam bahasa Inggeris dan ini menjadi persoalan. Oleh itu, saya mahukan maklum balas daripada masyarakat supaya dapat memastikan pelajar luar bandar tidak menjadi mangsa disebabkan mereka tidak menguasai bahasa Inggeris. "Saya cuma meletakkan persoalan adakah disebabkan itu pelajar tidak belajar bahasa Inggeris dengan serius atau adakah ia menyebabkan standard bahasa Inggeris menurun. Ia perlu dibincangkan semua pihak," katanya.
" isu ini perlu diteliti bagi membolehkan pelajar lebih serius menguasai bahasa Inggeris," katanya.

Laporan berita oleh akhbar berita harian online bertarikh 8hb Mei 2009

Tun M setuju syor bahasa Inggeris wajib lulus dalam SPM
CYBERJAYA
: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan cadangan Kementerian Pelajaran untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Katanya, cadangan itu boleh memberi nilai tambah kepada masa depan pelajar terbabit khususnya untuk bersaing dalam dunia pekerjaan dalam era globalisasi. "Sebenarnya keputusan sama ada cadangan itu boleh dilaksanakan atau tidak bergantung kepada ibu bapa dan bukannya kerajaan kerana ia membabitkan masa depan anak-anak mereka. "Lagipun dengan menguasai pelbagai bahasa khususnya bahasa Inggeris ia memudahkan mereka untuk menyambung pelajaran di luar negara dan memperolehi pekerjaan yang baik," katanya kepada media selepas menerima anugerah Doktor Kehormat Kemanusiaan daripada Universiti Teknologi Kreatif LimKokWing (LUCT) di sini, hari ini. Mengenai kemungkinan kerajaan tidak melaksanakan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), Dr Mahathir berkata: "Saya berasa amat sedih (jika PPSMI tidak dilaksanakan) kerana ia menyebabkan rakyat Malaysia dan orang Melayu menjadi `bodoh' pada masa akan datang," katanya.

p/s bagaimanakah nasib anak-anak kita yang tidak mahir didalam bahasa inggeris seandainya cadangan ini menjadi nyata suatu masa nanti ? wahai para ibubapa, fikir-fikirkanlah..

No comments:

Post a Comment